Minggu, 27 Februari 2011

"Manusia Tidak Gunakan Akal, Lebih Teruk daripada Hewan" - Tafsir surah al-An'am ayat 35-39

Hewan yang tidak berakal sentiasa tunduk kepada apa yang ditentukan oleh Allah ke atasnya tanpa sebarang pilihan lagi. Tetapi manusia khususnya yang mempunyai akal ada yang memilih selain perintah Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka.

Mereka menjadikan perintah hawa nafsu sebagai sekutu Allah dalam mengatur kehidupan di dunia. Mereka tidak menerima hidayah Allah lalu mereka menjadi manusia yang sesat dan pada hari akhirat kelak dihumbankan ke dalam neraka Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud
"oleh itu, janganlah kamu menjadi (salah seorang) dari orang-orang yang jahil." (Surah al-An'am :35)

Artinya janganlah pula kamu terdiri daripada orang yang tidak mengetahui bahwa Allah boleh menentukan semua manusia menerima agama yang satu (Islam) jika Allah menghendaki-Nya (wahai Muhammad s.a.w). Tetapi Allah jadikan mereka tidak menerima hidayah kerana pilihan mereka sendiri bukan dipaksakan ke atas mereka sebagaimana dipaksakan ke atas haiwan yang tidak berakal menerima segala ketentuan Allah tanpa pilihan lagi.

Oleh itu janganlah engkau (hai Muhammad s.a.w) merasakan pembohongan dan penentangan orang-orang kafir terhadap kamu, suatu yang amat besar dan besar bagimu sehingga engkau meninggalkan dakwah dan perjuangan Islam.

Anggaplah semua itu suatu yang lumrah dan ujian yang mesti datang yang ditentukan oleh Allah ke atas setiap rasul-hai Muhammad. Anggaplah semua itu masalah biasa sahaja dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Yang penting ialah kamu sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu." (Surah Muhammad:7)

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud,
"Hanya orang-orang yang menyahut (seruan-MU itu) ialah orang yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran)." (Surah al-An'am:36)

Dalam ayat ini Allah SWT memperingatkan Nabi s.a.w bahawa janganlah baginda merasa berat hati dan terlalu sukar menghadapi penentangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah (orang-orang kafir) dan terhadap sikap mereka yang tidak mahu menyahut seruan dakwahnya, mengesakan Allah dan mengakui kenabiannya.

Ini kerana sesungguhnya tidaklah orang yang menyahut seruan dakwah Nabi s.a.w melainkan sesungguhnya Allah telah membuka pendengaran mereka untuk menerima kebenaran dan mempermudahkan mereka untuk mengikut jalan-Nya.

Inilah antara sifat yang ada pada orang yang beriman yang sentiasa mahu menerima kebenaran dan berada di atas jalan yang betul, tidak pernah menutup mata hati mereka untuk berbuat demikian.

Berlawanan sifatnya dengan mereka yang kafir, mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi s.a.w walaupun telinga mereka tidak pekak.

Mereka tidak mahu memahami apa yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi s.a.w sebagaimana binatang ternakan tidak memahami apa yang dicakapkan oleh pengembalanya walaupun ada telinga dan dapat mendengarnya.

Bahkan orang kafir itu lebih teruk lagi berbanding dengan haiwan tersebut dinisbahkan dengan akal fikiran yang dikurnia oleh Allah kepada mereka.

Mata hati mereka itu telah tertutup tidak dapat melihat dan tidak dapat menerima kebenaran. Mereka itu seolah-olah seperti orang mati, tidak dapat melihat, mendengar dan merasakan sesuatu dengan hati mereka. Oleh kerana hati mereka mati (tertutup dari menerima kebenaran), Allah sifatkan jasad mereka juga seolah-olah seperti orang mati dengan firman yang bermaksud,
"dan orang-orang yang mati, Allah akan bangkitkan mereka semula." (Surah al-An'am :36)

Ahli tafsir berkata, orang-orang yang kafir akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama-sama dengan orang-orang yang mati, yakni golongan yang memekakkan telinga, membutakan mata dan memetraikan hati mereka dari mendengar Islam dan menerima dakwah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan para ulama di dunia dahulu.

Mereka dibangkitkan untuk menerima balasan yang setimpal dengan kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah dan perintah Nabi-Nya s.a.w


Allah turunkan bala atas kesalahan manusia : Surah al-An'am ayat 38-39

Allah SWT sahaja yang memberi rezeki kepada makhluknya hatta ulat yang berada dalam batu pun Allah Ta'ala kurniakannya.

Jika demikian, ada orang yang bertanya kenapa ada manusia yang kebuluran, tidak dapat makan terutama penduduk di benua Afrika?

Ketahuilah bahawa berlakukan kebuluran adalah bala yang ditimpakan Allah ke atas manusia akibat perbuatan jahat yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka.

Maka mereka hendaklah segera bertaubat kepada Allah dan mohonlah keampunan dari-Nya dan mohonlah agar Allah hilangkan segala kesusahan yang dihadapi oleh kita di dalam kehidupan ini termasuk kebuluran yang dialaminya oleh umat Islam di benua Afrika dan seumpamanya.

Pokoknya ialah Allah memberi rezeki kepada makhluknya sama ada dia hamba-Nya yang beriman atau yang kafir. Semuanya dikurniakan rezeki kerana Allah SWT Maha Pemberi Rezeki kepada semua hamba dan makhluknya di dunia ini.

Satu riwayat daripada Jabir bin Abdillah r.a beliau berkata, "Makanlah belalang kerana ia merupakan satu makanan yang di gemari oleh Sayidina Umar Ibnul Khattab. Satu ketika Sayidina Umar pernah ditanya tentang belalang adakah dia memilikinya. Beliau tidak memperolehi berita mengenainya dan tidak memilikinya buat masa itu dan Sayidina Umar agak sedih kerana tidak dapat sediakan belalang kepada orang yang meminta itu.

"Lalu Sayidina Umar menghantar seseorang untuk mencari serangga tersebut di merata-rata tempat sehingga sampai ke Syria dan Iraq. Setelah puas mencari utusan Umar balik semula menemuinya dan beliau bertanyakan tentang serangga tersebut sama ada utusan itu memperolehinya atau sebaliknya."

Jabir berkata lagi, "Tiba-tiba datang seorang dari Yaman membawa segenggam belalang. Dia membawanya kepada Umar dan menggenggamnya dengan kedua-dua belah tangannya. Apabila Umar melihatnya maka gembiralah ia sambil bertakbir tiga kali. Kemudian Umar berkata, "aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Allah Azza Wajalla telah mencipta 1000 umat. Daripadanya sebanyak 600 umat berada di laut dan 400 umat lagi berada di darat. Dan umat yang paling awal binasa di kalangan mereka ialah belalang. Apabila serangga itu mula binasa akan diikuti dengan kumpulan serangga yang lain mengikut peraturan yang serupa dengan kehancurannya apabila terputusnya rangkaian kehidupannya."

Allah berfirman yang bermaksud,
"Kemudian mereka (sekalian) akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Surah al-An'am :38)

Allah menghimpunkan semua makhluk pada hari akhirat kelak. Binatang pun dihimpunkan di sana, di mana ada riwayat mengatakan bagi binatang berlaku berhitungan terhadap mereka di padang mahsyar.

Selepas selesai perhitungan itu dibuat mereka dimatikan oleh Allah. Perhitungan itu dibuat sama ada di antara binatang itu sesama binatang ataupun dengan manusia. Mereka dibalas pada hari tersebut.

Sementara manusia tidak dimatikan oleh Allah. Perhitungan itu dibuat sama ada ke syurga atau neraka. Begitulah juga jin dan syaitan. Mereka diberi balasan setimpal dengan apa yang mereka telah lakukan di dunia dahulu dan kesudahan mereka juga ialah sama ada ke neraka atau ke syurga.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud,
"dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli." (Surah al-An'am :39)

Yakni perumpamaan sedikitnya ilmu dan kefahaman serta terlalu jahil mereka yang kafir atau munafik itu diumpamakan sebagai manusia yang bisu dan tuli, tidak mahu mendengar keterangan tanda-tanda kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya.

Sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Khathir di dalam kitab tafsirnya, bahawa bersama dengan sifat-sifat tersebut menunjukkan mereka juga berada dalam kegelapan, tidak dapat melihat kebenaran.

Bagaimana mereka berupaya keluar daripada kegelapan dan kesesatan sekiranya sifat mereka sedemikian rupa, sudah tentu mereka tidak akan menemui jalan kebenaran sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud, "perbandingan hal mereka (golongan munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi mereka dan dibiarkan mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat sesuatu pun.

"Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta, dengan keadaan itu, mereka tidak akan dapat kembali (kepada kebenaran)." (Surah al-Baqarah : 17-18)


Sumber : http://ustaznaim.blogspot.com/2010_07_01_archive.html


Wallahu a’lam bish-shawabi... (hanya Allah yang Mahatahu Kebenarannya)
Catatan ini kami tujukan untuk kami pada khususnya
dan untuk semua pembaca pada umumnya...
Jika terjadi kesalahan dan kekurangan disana-sini dalam catatan ini...
Itu hanyalah dari kami...
dan kepada Allah SWT., kami mohon ampunan...

Semoga Allah SWT. memberi kekuatan untuk kita amalkan... Amin
Wassalam...

Semoga Bermanfaat...
Silahkan COPY atau SHARE ke rekan anda jika menurut Anda note ini bermanfaat...

Lampirkan sumbernya ya... Syukron

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar